DEFINISI BAHAN BANTU MENGAJAR

Bahan bantu mengajar (BBM) atau alat bantuan mengajar (ABM) merupakan segala atau suatu kelengkapan yang digunakan oleh guru atau murid untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di bilik darjah (Brown J.W, 1983). Bahan bantu mengajar bukan sahaja terhad kepada buku teks, papan tulis, kapur, dan gambar-gambar sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan semua pancaindera dan apa sahaja yang dapat dialami oleh para pelajar. Bahan bantuan mengajar ini sangat membantu guru dan murid dalam pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Atan Long (1982) pula, alat bantu mengajar terdiri daripada pelbagai bahan yang digunakan untuk membantu guru dan murid. Bahan ini diterbitkan dalam bentuk buku, carta, atau slaid yang ditayangkan pada layar. Bukan itu sahaja, beliau turut membahagikan alat bantu mengajar kepada tiga kumpulan iaitu alat pendengaran, alat pandangan dan alat pandang-dengar. Oleh itu, alat bantuan mengajar ini bukan sahaja tertumpu kepada penglihatan namun kepada semua yang dinyatakan oleh Atan Long (1982).
Seterusnya, alat bantu mengajar juga dapat ditakrifkan sebagai audio visual dan bahan-bahan yang berkaitan dengannya yang berfungsi dalam perlaksanaan sesuatu pengajaran yang mana juga dikenali sebagai sebahagian daripada media pengajaran (Heinich e.t.al, 2002). Selain itu, Hanapiah Sudin (1979) dan Khairiah Ahmad (1980) mengelaskan alat bantu mengajar kepada dua iaitu software dan hardware.
Disamping itu, alat bantu mengajar boleh dibahagikan kepada dua iaitu media elektronik dan media bukan elektronik (Noraziah Abdul Hamid, 1981). Berikutnya, Thomas, R.Murray, Swartout, Sherwin G (1963) pula menyatakan bahawa hanya alat bantu mengajar yang mempunyai komunikatif tinggi yang mampu membantu pelajar memperolehi pengalaman belajar yang berfaedah bagi mengembangkan sikap ilmiah, sikap sosial, kemantapan emosi serta daya pendengaran.
Manakala Ngui Kuen Sang pula menyatakan bahawa takrifan mengenai alat bantu mengajar tidak dapat diberikan secara tetap walaupun pada keseluruhannya ramai pendidik yang bersependapat bahawa penggunaan alat bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan pengalaman yang melibatkan penggunaan penglihatan dan pendengaran seseorang.
Akhirnya, berdasarkan takrifan bahan bantu mengajar tersebut, dapat disimpulkan bahawa segala bentuk simbol dan komunikasi verbal yang abstrak dapat diperjelaskan dengan menggunakan alat bantu mengajar. Hal ini akan memudahkan pelajar memahami isi kandungan sesuatu pelajaran yang disampaikan. Malahan, penggunaan pelbagai media pengajaran secara tepat dapat mengatasi sikap pasif dalam kalangan pelajar kerana ia akan menarik minat pelajar, menimbulkan suasana yang lebih menarik kepada mereka serta meningkatkan interaksi dan kefahaman pelajar tentang topik yang diajar.


Comments

Popular posts from this blog

JENIS-JENIS BAHAN BANTU MENGAJAR